Thursday, February 04, 2016

Hamba hina tapi mahu semua

Tuhan,
Aku hamba hina,
Tahu punya banyak dosa,
Tapi masih mahu meminta,
Semua perkara dalam dunia,
Dan semua yang kekal di sana.

Tuhan,
Aku hamba hina,
Tahu punya banyak cela,
Tapi masih mahu meminta,
Diampun dosa, dikurnia syurga.

Tuhan,
Aku hamba hina,
Tahu punya iman tak setinggi mereka,
Tapi masih mahu meminta,
Istiqamahkan aku dalam taqwa.

Tuhan,
Aku hamba hina,
Tahu punya hati gelap tiada warna,
Tapi masih mahu meminta,
Sucikanlah ia dengan salju penghilang nista.

Tuhan,
Aku hamba hina,
Sering hilang punca cahaya,
Tapi masih mahu meminta,
Ihdinas sirootol mustaqeem, padaMu yang Maha Esa.

Tuhan,
Aku hamba hina,
Cetek perwatakan wanita syurga,
Tapi masih mahu meminta,
Kuatkan daku nanti sebagai isteri solehah, ibu sempurna,
Untuk jodohku di dunia dan di syurga,
Serta zuriat keturunan bertaqwa.

Tuhan,
Aku hamba hina,
Dengan hati bolak balik penuh dosa,
Turun naik imanku seperti nafas kencang hentinya tiada,
Tapi Tuhan, aku tahu selangkah aku menghampiriMu,
Rahmat dan kasih sayangMu hadir berganda,
KeampunanMu sentiasa terbuka,
Buat aku, hamba pendosa.

Rayuku padaMu Tuhan,
Jangan tinggalkan aku walau seketika.
Walau sekelip mata.
Walau nafas sehela.
Walau lebih sekejap dari keduanya.
Kerna aku hanya punya Engkau,
Allahu Ahad.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...